Wednesday, October 10, 2007

Angkasawan pertama Malaysia ke angkasa lepas

Petikan Utusan Malaysia, 10 Oct 2007

Dr Sheikh Muszaphar dipilih berlepas ke ISS Rabu

BAIKONUR (KAZAKHSTAN) 9 Okt. - Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 35, dipilih oleh Jawatankuasa Pemilihan Angkasawan Agensi Angkasa Rusia (Roscosmos) sebagai angkasawan pertama Malaysia untuk misi ke angkasa lepas esok.

Doktor bedah ortopedik berusia 35 tahun dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berasal dari Seremban itu akan berada 10 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Beliau akan berlepas bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari tapak pelancaran Baikaonur Cosmodrome pada pukul 7.21 malam waktu tempatan (9.21 malam waktu Malaysia).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Jamaluddin Jarjis berkata, pemilihan Dr Sheikh Muszaphar berasaskan pencalonan asal oleh Malaysia kepada Roscosmos yang mencalonkan Dr Sheikh Muszaphar sebagai calon pertama dan Kapten Dr Faiz Khaleed, 27, sebagai calon kedua.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan mengambil kira laporan semua komponen dan pihak yang terlibat dalam melatih kedua-dua angkasawan itu, katanya.

Beliau berkata, semasa keputusan itu diumumkan, Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz serta krew masing-masing turut hadir.

Katanya, mesyuarat setengah jam itu juga bersetuju supaya Dr Faiz dihantar menyertai misi angkasa bagi sesi 2008/09 dan sementara itu, dibenarkan turut berlatih di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, di Star City, Moscow, Rusia.

Jamaluddin berkata, beliau akan mengemukakan cadangan mesyuarat itu mengenai Dr Faiz kepada Kabinet sekembalinya dari pelancaran misi itu.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan berlakunya pertukaran krew misi dalam tempoh empat jam sebelum pelancaran.

“Saya juga telah mengucapkan terima kasih bagi pihak kerajaan Malaysia kepada Rusia kerana menjadikan misi ini berjaya, yang amat bersejarah sempena kemerdekaan negara kita.

“Ia juga amat signifikan bagi Rusia kerana tahun ini sempena 50 tahun negara itu menghantar satelit pertamanya buatan manusia (Sputnik) ke angkasa lepas,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas dimaklumkan oleh mesyuarat jawatankuasa itu di sini hari ini.

Jamaluddin juga berkata, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Rusia kerana membantu saintis Malaysia membuat persediaan bagi kerja penyelidikan di angkasa oleh Dr Sheikh Muszaphar nanti.

Katanya, Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz turut diberi kesempatan menyampaikan ucapan kepada jawatankuasa itu dalam Bahasa Rusia.

Program angkasawan negara itu adalah persetujuan timbal-balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia dan ditandatangani pada 5 Ogos 2003. - Bernama


Komen : Ada yg bersetuju, ada yg tak setuju. Ape komen anda?

Rujukan lain : Sini dan sini. Juga di sini.



------------------------------------------------------------------------------------

Other info :

1. The Angkasawan Programme is the Malaysian national programme to send the first Malaysian to space. The Malaysian will join two other cosmonauts aboard a Soyuz space craft that will rendezvous with the International Space Station, which is in orbit around the Earth at an altitude of approximately 360 km. The Angkasawan will carry out scientific researches on board the space station.

2.ASTRO will broadcast live the voyage into space on Channel 588 beginning at 6.30pm today. Viewers will also be able to watch the docking of the rocket with the International Space Station at 9.30pm on Oct 12.

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin
 
design by suckmylolly.com